Header Ads

Resepi Gulai Kerutup Daging Paling Sedap Dan Senang


Belah Pantai Timur, menu Kerutup Daging amatlah popular. Pernah bila tetamu datang rumah, saya masak gulai ni. Bertambah-tambah mereka makan nasi. Sukanya hati tengok depa makan sampai licin ke kuah.

Jom saya pecah rahsia nak dapatkan gulai kerutup sesedap rasa . Nak ikut langkah memasak bergambar, boleh jengah di fb saya. Banyak juga resepi masakan Kelantan yang popular saya suka kongsi sebagai hobi. Aha.

Mungkin ada bahan yang tidak digunakan oleh sesetengah orang. Jangan bimbang. Takda rasa yang pelik. Rata-rata mereka yang cuba memang jatuh cinta.

Ini cara penyediaannya.

Pes bahan kisar

Anggaran bahan untuk 1/2 kilo daging.

-4-5 biji bawang merah saiz bola pingpong
-1 ulas bawang putih
-1/2 batang serai
-1/2 inci halia
-sehiris lengkuas
-1/2 sudu besar jintan putih+ 1/2 sudu besar rempah ketumbar (Sangai sekejap. Untuk hasil masakan lebih umphh)

Kisar semua bahan di atas hingga lumat.



Cara-cara:

1. Panaskan minyak secukupnya. Masukkan 3 sekawan ( 1 batang kayu manis, 1 bunga lawang dan 3 biji buah pelaga hijau). Guna api perlahan sahaja.
2. Boleh masukkan bahan kisar. Tumis sehingga naik bau.
3. Masukkan pula 2 sudu besar cili kisar. (Buat sendiri je. Rebus cili kering, buang tangkai dan biji. Kisar sehalusnya).Jangan guna cili boh. Hilang rasa asli gulai ni. Kacau sehingga pecah minyak.
4. Sediakan rempah kerutup. Saya memang tak guna yang lain. Buat stok awal-awal beli kat kampung. Masukkan 3 1/2 sudu besar rempah kerutup dalam mangkuk. Tambahkan dengan 1/2 cawan air. Kacau rata sebelum ditumis sekali.
5. Pes perlu garing sehingga pecah minyak sedikit untuk gulai tak cepat basi. Tambahkan lagi 1/2 cawan air kosong. Kacau lagi sampai sebati dan pecah minyak.
6. Daging 1/2 kilo yang dipotong nipis dan sedikit lebar pula dimasukkan. Kacau rata sebelum periuk ditutup. Biarkan selama 40 minit menggunakan api yang perlahan.
7. Selepas itu, masukkan pula 1 sudu besar kerisik kelapa. Masa ni baru boleh masuk garam. Daging akan liat kalau letak garam terlebih awal.
8. Untuk anggaran garam, masukkan 1 sudu besar garam, 2 sudu besar gula putih, 1 sudu besar gula perang dan 1/2 sudu kecil serbuk perasa.
Tapi, kalau nak selamat masukkan sikit demi sedikit. Takut sukatan air daging yang direnehkan tadi tak sama.
9. Masukkan santan. Saya guna santan kotak jenama M&S dari dulu. Gunakan hanya 1 1/2 sudu besar sahaja. ( Ikut kesesuaian air yang terhasil dari daging yang direneh. Boleh tambah sedikit lagi kalau air banyak). Santan tu sekadar untuk melemakkan masakan. Barulah warna gulai akan cantik menyerlah.
10. Renehkan lagi dengan api perlahan. Lebih kurang 1/2 jam lagi bagi mendapat hidangan yang sempurna.



Selamat mencuba resepi istimewa dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

kredit resepi kepada ‎Afy AL Habibi via #MAHn

No comments:

Powered by Blogger.